Monday, July 7, 2025

Menyingkap Kebijaksanaan Guru :

MENYINGKAP KEBIJAKSANAAN GURU

1. Satu pertanyaan yang selalu merangsang pemikiran saya - kenapakah dalam SATU sistem persekolahan, negeri, daerah atau sekolah yang SAMA terdapat guru yang menonjol prestasi dan keberkesanannya, sebaliknya dalam masa yang sama terdapat juga guru yang sederhana atau rendah prestasi dan keberkesanannya?

2. Pada suatu ketika saya berpendapat ciri menonjol dan utama guru berkesan dan berprestasi tinggi ialah guru tersebut adalah guru ‘extra-miles’. Ini bermaksud guru berkenaan sentiasa berusaha lebih daripada yang dijangkakan. Mereka melakukan lebih daripada tanggungjawab biasa untuk mencapai matlamat dalam mendidik anak-anak muridnya. Pada dasarnya beliau melakukan lebih daripada sekadar keperluan minimum.

3. Masa berlalu, pertanyaan di atas sering berulang dalam fikiran saya kerana jawapannya masih tidak memuaskan hati, cenderung seperti penilaian ‘superficial’. Akhirnya saya berpendapat guru berkesan dan berprestasi tinggi itu amat dipengaruhi oleh KEBIJAKSANAAN guru berkenaan. Berikut sedikit huraian kenapa saya berpendapat sedemikian.

4. Seseorang yang memiliki ILMU PENGETAHUAN (Theoritical Knowledge) boleh jadi dia seorang yang pandai atau cerdik dalam bidangnya tetapi belum tentu dia seorang yang bijaksana jika dia tidak memiliki ILMU PENGALAMAN (Experiential Knowledge).

5. Walaupun seseorang itu mempunyai pengalaman yang lama atau pelbagai, dia tidak akan memiliki Ilmu Pengalaman jika dia tidak pernah belajar atau mengambil iktibar dari pengalaman yang dilaluinya (PELAJARAN YANG DIPELAJARI – ‘Lesson Learned’) 

6. Oleh sebab itu ‘Wisdom’ atau  ‘Kebijaksanaan’ sering kali dikaitkan dengan pengalaman praktikal. Dalam maksud yang lain, kebijaksanaan bukan sekadar memiliki pengetahuan abstrak atau teori tetapi berakar dalam pengalaman praktikal, kehidupan seharian yang dari semasa ke semasa mengumpul iktibar - ‘pelajaran yang dipelajari’ dan dapat menggunakan iktibar itu dengan berkesan dalam konteks baharu.

7. Dalam menyingkap kebijaksanaan guru yang berkesan dan berpretasi tinggi, berikut beberapa pemerhatian yang dapat saya kongsikan:

8. PERTAMA,  Sekadar mempunyai pengalaman tidak menjamin kebijaksanaan. Kebijaksanaan muncul apabila guru itu merenungkan pengalaman tersebut, memahami maknanya yang lebih mendalam, dan menerapkan pelajaran berkenaan dalam kehidupan. Sebagai contoh, seorang guru yang berulang kali menyedari pelajar bergelut dengan sesuatu topik mungkin menyesuaikan strategi pedagogi mereka, menunjukkan kebijaksanaan yang diperolehnya melalui refleksi.

9. KEDUA, kebijaksanaan termasuk keupayaan dapat melihat pola merentas pelajaran yang dipelajari dari pengalaman. Kebijaksanaan terserlah apabila guru itu boleh menghubungkan situasi yang kelihatan tidak berkaitan dan menggunakan dapatannya itu dalam konteks  yang  berbeza. Sebagai contoh, guru bijaksana menggunakan iktibar pengalaman gagal dalam pengajaran lalu untuk menghadapi cabaran masa depan atau membantu rakan gurunya yang lain.

10. KETIGA, Kebijaksanaan sering berpunca daripada pemahaman bahawa kesilapan dan cabaran adalah peluang untuk berkembang. Setiap pelajaran yang dipelajari membina kerendahan hati dan minda yang terbuka kepada pembelajaran berterusan. Sebagai contoh, guru yang bijaksana mengakui keterbatasan mereka dan menyesuaikan diri berdasarkan pengajaran yang dipelajari, menunjukkan kematangan dan kesedaran diri.

11. KEEMPAT, Iktibar dari pengalaman mendorong tindakan bijaksana. Kebijaksanaan bukan hanya tentang mengetahui; ia mengenai menggunakan pengetahuan dengan pertimbangan yang mendalam untuk mencapai hasil yang positif. Sebagai contoh, guru bijaksana menggunakan iktibar dari pengalaman lama mengajar untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid dan membimbing rakan gurunya yang lain.

12. Kebijaksanaan Guru bermaksud kebolehan mereka untuk mensintesis, menyesuaikan, dan memanfaatkan pelajaran yang dipelajari dari pengalaman dengan cara yang bermakna dan berkesan iaitu mengubah pengalaman semata-mata menjadi ILMU PENGALAMAN yang sangat berharga.

Wallahu’alam.

~Amin  Senin~

20 Tanda Sekolah yang Sudah 'Red Flag' oleh Dr. Radin Muhd Imaduddin

20 Tanda Sekolah yang Sudah 'Red Flag' Berikut 20 tanda-tanda awal bahawa sesebuah sekolah sedang berada dalam zon bahaya, atau istilah kasarnya, ‘Red Flag’: 

 1. Ramai guru mohon pindah tanpa alasan kukuh Biasanya berlaku secara senyap. Bila ramai mahu ‘keluar’, ada yang tak kena dalam sistem dalaman. 
 2. Kadar MC dalam kalangan guru sangat tinggi Isu kesihatan sering jadi alasan. Tapi kadang-kadang, itu sebenarnya simptom tekanan dan ‘escapism’. 
 3. Ramai guru sakit, sama ada mental, fizikal dan emosi Guru hilang seri, burnout, kemurungan, tekanan darah tinggi, lelah emosi. Semua ini tidak berlaku secara tiba-tiba. 
 4. Ramai guru mohon pencen awal / pencen pilihan Apabila guru-guru cemerlang mula ‘angkat bendera putih’, sistem perlu disemak. 
 5. Mesyuarat PIBG tak mendapat sambutan Komuniti sekolah semakin renggang. Ibu bapa pun sudah ‘give up’ untuk ambil tahu. Mesyuarat PIBG, ajk je yang bercakap. 
 6. Kadar kehadiran murid bermasalah Ponteng kronik. Ada murid yang hilang berbulan-bulan, sekolah tak tahu pun, atau tak ambil tahu. 
 7. Kepimpinan sekolah bertukar-tukar terlalu kerap Tiada kesinambungan. Pelan strategik tergantung di dinding, tapi tak pernah bergerak. Dalam fail ada, pelaksanaan? ke laut semuanya. 
 8. Tiada budaya kerja berpasukan Guru bekerja dalam silo, hanya buat yang diarahkan, tiada semangat kolaboratif. Banyak ‘klik’. Budaya toksik berleluasa. 
 9. Murid tidak menghormati guru Kes murid memaki, menjerit, biadab makin kerap, makin dilazimkan. 10. Kes disiplin murid meningkat secara mendadak Buli, vape, gaduh, ponteng, pecah harta benda, tapi sekolah buat biasa. Tak dipandang serius. Semua pihak business as usual. 
 11. Aduan ibu bapa meningkat dan mula tular Bila komuniti hilang kepercayaan, sekolah bukan lagi tempat selamat untuk anak-anak. Ibu bapa suka viralkan hal yang sepatutnya settle dengan baik dengan pihak sekolah. 
 12. Tiada bimbingan dan mentoring untuk guru baharu Guru muda dibiarkan hanyut. Lama-lama, semangat hilang, motivasi lenyap. Lebih parah, guru muda lebih toksik daripada yang senior. 
 13. Aktiviti murid bersifat kosmetik Program hanya untuk cukupkan eviden, atau sekadar memenuhi takwim, buat asal buat, sebab tak nak nama naik tapi tak menyentuh jiwa, tak membentuk watak. Hilang ruh. 
 14. PdP yang hambar dan berulang-ulang Tiada inovasi. PdP sekadar ‘masuk kelas’, bukan proses membina insan. Lagi parah, bila tak tahu pun kenapa masuk ke kelas, saja mengisi masa kerja. 
 15. Sekolah bergantung kepada segelintir guru sahaja ‘Superman’ sekolah buat semua, jadi, bila mereka hilang, sekolah lumpuh. Pengetua dan GB suka buat favorism, memilih-milih. 
 16. Murid tiada rasa cinta atau bangga terhadap sekolah Tiada jati diri. Tiada semangat ‘belonging’. Sekolah sekadar tempat datang-pergi, jumpa kawan untuk hangout. Not more not less. 
 17. Mesyuarat sekolah hanya beri arahan, bukan bina idea Tiada ruang untuk dialog. Tiada budaya reflektif. Hanya ‘ikut arahan’ semata. Top down sepenuhnya. Pengetua dan pentadbir sahaja yang bercakap. 
 18. Guru enggan menyertai kursus atau bengkel Guru sudah lesu. Rasa tiada makna untuk belajar lagi. Kalau buat pun, tak ikhlas dan cari jalan shortcut, macam hire orang, guna chatGPT. Buat pun rasa tak bersalah. 
 19. Budaya kerja toksik, penuh sindir, sabotaj, berpuak puak ikut ‘klik’ Tiada kepercayaan. Tiada empati. Hanya drama dan agenda tersembunyi. Cikgu Senior vs junior. Cikgu Akademik vs cikgu kokurikulum. cikgu digital vs cikgu manual. kantin tempat gosip. 
 20. Tiada pelan intervensi murid berisiko Sekolah tak tahu siapa yang perlu dibantu. Semua dibiarkan terapung. Lantak apa yang berlaku. yang penting dapat gaji bulan. Semua salahkan kerajaan.
 ....................... 
Maka apa perlu kita buat? Sekolah yang tenat, tak akan pulih dengan pekeliling sahaja. Perlu pemulihan budaya, kepimpinan berhikmah, empati kolektif dan tindakan berani.Sekolah yang menunjukkan terlalu banyak ‘red flag’ bukan hanya berdepan masalah teknikal atau pentadbiran semata. Ia menandakan krisis yang lebih dalam, iaitu krisis budaya, krisis kepimpinan dan krisis harapan. Dan dalam semua ini, peranan kepimpinan sangat kritikal, dan ini bermula di sekolah. 
 Sekolah yang kuat bukan dibina dengan SOP atau pekeliling, tetapi dengan jiwa pemimpin yang sedar bahawa tugas mereka bukan sekadar mengurus, tetapi memulihkan dan membina semula jiwa dan ruh organisasi. Namun kita juga tidak boleh hanya menuding jari sepenuhnya ke arah kepimpinan semata-mata. Kita semua, sebagai warga sekolah, pendidik, ibu bapa atau masyarakat, perlu berani bermuhasabah, adakah aku menyumbang kepada penyelesaian atau hanya menambahkan kesunyian? 
Sekolah yang sakit tidak akan sembuh dengan diam, dan tidak akan berubah jika kita hanya menunggu orang lain memulakannya. Reformasi sekolah mesti dimulakan sekarang, bukan esok. Bukan menunggu krisis lebih parah. Bukan menunggu murid-murid kita hilang rasa cinta kepada ilmu dan hilang percaya kepada institusi. Kalau kita betul-betul mahu menyelamatkan masa depan, kita perlu berani bertindak, dan berani berubah. Bukan menyalahkan satu sama lain. Tapi, itulah yang paling kita buat... 


Monday, May 5, 2025

Monday, April 28, 2025